| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

Dari Fail Mahkamah


Suka-suka beli ekor, lelaki kena denda RM2,000

Dipetik dari Harian Metro 08/06/2005


SHAH ALAM: Gara-gara membeli nombor ekor berharga RM1, seorang lelaki menerima padah apabila didenda RM2,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam atas tuduhan berjudi.

Mohd Shah Hussein, 36, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis Magnum 4D USJ 21/10, Subang Jaya, di sini, jam 6.30 petang, pada 26 Januari lalu.

"Kamu bertanggungjawab mencorakkan anak kamu untuk menjadi insan yang soleh tetapi kamu mengkhianati amanah itu walhal dia dilahirkan dalam keadaan putih bersih.

Pegawai Pendakwa Mohd Kamal Ismail ketika membacakan fakta kes memberitahu mahkamah, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengadakan operasi judi (Ops Judi) di premis terbabit dan mendapati tertuduh membeli nombor ekor.

Ketika pemeriksaan terhadap tertuduh, mereka menjumpai satu resit nombor ekor bernilai RM1 bertarikh pada hari berkenaan.

Mohd Shah didakwa mengikut Seksyen 17 Enakmen Jenayah-jenayah Syariah Negeri Selangor 1990 dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ketika merayu meringankan hukuman menyatakan dia menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Saya membeli nombor sekadar suka-suka sahaja. Saya memohon mahkamah mengurangkan denda kerana terpaksa menanggung perbelanjaan lima anak yang masih bersekolah,” katanya

Tertuduh juga mengaku resit nombor ekor yang dijadikan bukti pendakwaan adalah miliknya.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Abu Bakar Daud menolak rayuan tertuduh dengan alasan kesalahannya adalah berat dan berdosa besar di sisi agama Islam.

“Kes yang membabitkan umat Islam berjudi semakin serius dan mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan. Saya suka mengingatkan kepada kamu bahawa berjudi adalah haram di sisi Islam.

“Oleh itu, hukuman berat perlu dikenakan sebagai peringatan kepada kepada kamu dan orang lain agar tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Tamat

Kembali