| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

Dari Fail Mahkamah

MAZURI Mamat, mengaku bersalah.

Serah anak kepada bukan Islam dipenjara 10 bulan
oleh Mohd Noordeen Mukri


KOTA BHARU, 13 April 2005: Pengakuan bersalah seorang penganggur, Mazuri Mamat, 32, terhadap tuduhan menyerahkan hak penjagaan anak kandungnya kepada wanita warga Jerman yang bukan beragama Islam, mengakibatkan beliau dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan perbuatan tertuduh menyerahkan anak sulungnya, Mu'zzuddin, 8, kepada orang bukan Islam sebagai ayah yang tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah Allah.

"Kamu bertanggungjawab mencorakkan anak kamu untuk menjadi insan yang soleh tetapi kamu mengkhianati amanah itu walhal dia dilahirkan dalam keadaan putih bersih.

"Perbuatan kamu ini menyinggung sensitiviti masyarakat Islam," katanya yang memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa mulai 18 April ini.

Mazuri, yang berasal dari Kampung Panchor, Kemumin dituduh menyerahkan hak penjagaan anak kandungnya kepada Ingrid Angelika Braun yang beralamat di Pengkalan Chepa, di sini.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 7 April lalu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada perbicaraan semalam.

Mazuri yang dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 1.2, Kompleks Mara, Jalan Datuk Pati di sini, pada 4 Disember 2002, didakwa mengikut Seksyen 21 Kanun Jenayah Syariah 1985 Negeri Kelantan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty ketika mengemukakan fakta kes, memberitahu mahkamah pihaknya bertindak berdasarkan maklumat diterima di mana surat keizinan penyerahan hak penjagaan dibuat Mazuri di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Rahmah Mamat, bertarikh 4 Disember 2002 yang memberikan hak penjagaan anaknya kepada Braun," katanya.

Surat tertuduh bertarikh 5 Disember 2002 kepada Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Cheng juga mengesahkan penjaga Mu'zzuddin telah diberi kepada Braun.

”Braun tidak pernah mendaftar sebagai beragama Islam, tetapi beliau adalah penganut Kristian dan tiada alasan kukuh membolehkan tertuduh menyerahkan anaknya kepada orang bukan Islam,” kata Abu Bakar dalam hujahnya.

Beliau berkata, anak-anak tidak bersalah tetapi dari segi akidah, boleh berubah dan penyelewengan akidah boleh berlaku jika kanak-kanak itu dipelihara orang bukan Islam berdasarkan didikan yang diberikan penjaga," katanya.

 

 

 

Tamat

Kembali