| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

Berita Semasa
Bengkel Promosi Kesedaran, Penggunaan Dan Pelaksanaan Sistem E-Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (Zon Timur)

Terengganu, 11 Julai 2012 - Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menganjurkan Bengkel Promosi Kesedaran, Penggunaan dan Pelaksanaan Sistem E-Syariah (Zon Timur). Bengkel selama 3 hari 2 malam ini, bermatlamat memberi kesedaran tentang penggunaan dan pelaksanaan Sistem E-Syariah kepada staf Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri. Bengkel yang berlangsung di Sutra Beach Resort & Spa, Terengganu telah dirasmikan oleh YAA Dato' Ismail Bin Yahya, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Perasmian bengkel oleh YAA Dato' Ismail Bin Yahya

Seramai 5 orang penceramah terdiri daripada pegawai-pegawai dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah memberi penerangan mengikut modul masing-masing. Modul-modul yang terlibat ialah Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS), e-Nafkah, e-Bicara, Sulh, Sistem Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS), Kewangan dan Statistik. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh para peserta untuk menanyakan soalan secara langsung kepada pegawai berkenaan mengenai masalah dihadapi tentang penggunaan Sistem E-Syariah.

Peserta-peserta sedang mendengar taklimat

Selain pelaksanaan bengkel, sesi riadah turut dijalankan dengan mengadakan aktiviti sukaneka yang melibatkan 29 orang peserta, penceramah, fasilitator dan urus setia bengkel. Antara sukan yang dipertandingkan adalah mengisi air ke dalam botol, memecah belon, membina istana pasir dan tarik tali. Aktiviti yang dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut jantina ini telah dimenangi oleh "Kumpulan Ketupat Sotong" bagi kategori lelaki dan "Kumpulan Keropok Losong" bagi kategori perempuan.

Peserta bengkel Zon Timur

Majlis penutup dan penyampaian hadiah serta sijil penghargaan telah disempurnakan oleh Tuan Rozman Bin Mat Sidek, Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Secara keseluruhannya bengkel ini telah berjaya membantu staf Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri meningkatkan produktiviti kerja dengan penggunaan sistem ini sepenuhnya. Bengkel ini juga telah mendapat maklum balas baik daripada peserta dan akan diteruskan promosi seterusnya di Zon Sabah/Sarawak pada bulan September 2012.

Senarai Berita Semasa Kembali