| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bersama Masyarakat Negeri Kedah 2010

Oleh Khairul Nizam bin Talkili


27 Mei 2010, Baling, Kedah - Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bersama Masyarakat Negeri Kedah telah diadakan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.B. Datuk Senator Dato' Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Y.A.A. Tan Sri Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk "Peranan JKSM dan Mahkamah Syariah Dalam Menyelesaikan Masalah Pihak-Pihak Bertikai". Dalam ucapannya, beliau menyatakan tentang peranan Bahagian Sokongan Keluarga(BSK) yang telah diwujudkan oleh JKSM bagi mengatasi masalah berhubung dengan pelaksanaan perintah. Beliau juga menyeru kepada peserta yang hadir agar memanfaatkan ruang tersebut bagi mendapatkan informasi terkini mahkamah syariah dengan mengikuti program majlis yang telah dirancang sehingga majlis berakhir.

Padat...Bilangan peserta yang mengikuti Majlis Mahabbah semakin bertambah pada anjuran kali ini.

Kemuncak Program ini ialah, forum yang bertajuk “Peranan JKSM dan Mahkamah Syariah di dalam Melaksana dan Memperkukuhkan Perintah-perintah Nafkah”. Pengerusi panel forum ini ialah Puan Hajah Noor Hadina binti Ahmad Zabidi, Pengarah Bahagian Latihan JKSM, manakala Ahli Panel terdiri daripada Dr. Hj Mohd Na’im bin Mokhtar, Timbalan Pengarah BSK JKSM, Y.Bhg. Tuan Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Y.Bhg. Tuan Haji Saarani bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Syariah Syariah, Jabatan Bantuan Guaman. Majlis mendapat sambutan menggalakkan dalam sesi soal jawab yang mendapat perhatian dan interaksi positif dari peserta yang setia menunggu sehingga akhir majlis.

Selain dari forum, majlis ini juga turut dimeriahkan dengan pameran-pameran dari beberapa jabatan dan agensi yang mengambil bahagian. Antaranya ialah JKSM, Mahkamah Syariah Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Penerangan Daerah, Jabatan Bantuan Guaman, Pejabat Agama Islam Daerah, KEMAS dan lain-lain.

Tamat

Kembali