| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

Mahabbah Peringkat Negeri Kelantan : BSK : Atasi masalah pelaksanaan perintah mahkamah syariah

Oleh Khairul Nizam bin Talkili

Kota Bharu, 10 Julai 2008: Seperti yang dirancangkan, program Mahabbah JKSM telah memulakan siri jelajahnya bagi tahun 2008 menemui masyarakat Negeri Kelantan Darul Naim. Dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, ianya telah berlangsung di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

Majlis telah dirasmikan oleh Y.B Dato’ Haji Mohd Aiseri bin Alias, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan disempurnakan oleh Y.A.A Datuk Hj Ibrahim B Lembut, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘ Peranan JKSM dan Mahkamah Syariah Dalam Menyelesaikan Masalah Pihak Bertikai’. Dalam ucapannya beliau menyatakan, melalui waran perjawatan yang baru pada tahun ini, JKSM akan mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga(BSK) yang dilihat sebagai satu langkah yang amat bijak dan tepat pada masanya bagi mengatasi masalah berhubung dengan pelaksanaan perintah.

Perintah yang dimaksudkan disini adalah lebih menjurus kepada perintah berkaitan nafkah, hadhanah, pengurusan harta dan lain-lain perintah berkaitan kekeluargaan. Dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga(BSK) disetiap mahkamah syariah negeri kelak, diharap dapat memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saran dengan lebih sistematik, cepat dan berkesan di samping dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Hampir 1000 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar, imam-imam, kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri serta badan-badan NGO telah menyertai program ini. Beberapa orang peserta yang ditemui menyambut baik usaha positif JKSM dan JKSN mengadakan program mahabbah yang dilihat sebagai kesungguhan dan ketelusan mahkamah syariah menyampaikan maklumat kepada masyarakat.


Orang ramai yang hadir telah memperolehi pelbagai informasi melalui aktiviti dan pameran yang diadakan oleh JKSM, JKSN Kelantan dan beberapa jabatan Islam dan agensi yang berkaitan . Selain itu jabatan turut memberi peluang kepada mereka untuk meleraikan kemusykilan mereka mengenai peranan, sistem dan isu mahkamah syariah seluruh Malaysia melalui sesi dialog yang diadakan di akhir sesi ceramah dan forum.

Turut hadir Y.A.A Dato' Aria D’Raja Haji Daud bin Mohamed, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan yang telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘ Isu-Isu Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah’ . Manakala sesi forum pula dipengerusikan oleh Tuan Mohd Amran Bin Mat Zain, Penyelidik Kanan kepada Y.A.A Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM dengan panelnya yang terdiri daripada Y.A Dato’ Haji Muhammad Asri bin Haji Abdullah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Y.Bhg Prof. Madya Dr. Najibah binti Mohd Zin dari Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Y.Bhg Tuan Haji Yusof bin Musa, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Syariah, Biro Bantuan Guaman Malaysia.

Tamat

Kembali