| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

    Laman Utama Sulh Manual Kerja Sulh Mahkamah Syariah


Manual Kerja Sulh Mahkamah Syariah

BAB 1 - PERMULAAN

Manual Kerja ini bertujuan menjelas dan menyeragamkan prosedur yang perlu diikuti oleh semua Pegawai Sulh dalam mengendalikan Majlis Sulh.


BAB 2 - OBJEKTIF

Bagi melaksanakan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh)………2002 maka diperbuat di bawah ini Manual Kerja Sulh untuk diguna pakai dan dipatuhi oleh Pegawai Sulh.


BAB 3 - KENYATAAN AWAL(AL TAcARRUF) PEGAWAI SULH

a) Pegawai Sulh selaku Pengerusi Majlis Sulh hendaklah meminta pihak-pihak mengambil tempat masing –masing.

b) Pegawai Sulh hendaklah memulakan majlis dengan memperkenalkan diri, membaca surah al-Fatihah dan doa yang disarankan (rujuk Lampiran 1).

c) Pegawai Sulh hendaklah memaklumkan pihak-pihak berkenaan tentang prosedur yang dipakai, sambil menimbulkan keyakinan pihak-pihak kepada proses sulh dan kepada diri Pegawai Sulh. Jika difikirkan perlu, galakkan kedua-dua pihak mengemukakan soalan sehingga Pegawai Sulh yakin mereka benar-benar faham apa yang hendak dijalankan.

d) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan bahawa matlamat sulh adalah untuk mencapai penyelesaian pertikaian mereka secara sukarela berasaskan persetujuan mereka sendiri tanpa sebarang paksaan. Pegawai Sulh hendaklah menjelaskan perbezaan antara proses Sulh dengan kaedah-kaedah penyelesaian yang lain iaitu perundingan, timbangtara dan perbicaraan.

e) Pegawai Sulh hendaklah menggariskan peraturan sulh yang mesti dipatuhi antaranya:

  • Semua pihak hendaklah bercakap mengikut giliran.

  • Apabila suatu pihak bercakap, pihak lain hendaklah mendengar dan memberi perhatian.

  • Apabila bercakap hendaklah dalam keadaan tenang dan tidak meninggikan suara.

  • Pihak-pihak hendaklah bercakap dan bertindak secara sopan dan tidak menyerang peribadi pihak lawan.

  • Pihak-pihak tidak boleh berkomunikasi secara langsung antara mereka kecuali dengan kehadiran Pegawai Sulh.

  • Pihak-pihak hendaklah membuat akujanji akan mematuhi peraturan-peraturan ini.

f) Pegawai Sulh hendaklah menggalakkan pihak-pihak berkerjasama dan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai penyelesaian secara damai.

g) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan kepada pihak-pihak bahawa semua perkara yang dibincangkan dan dirundingkan di dalam Majlis Sulh ini adalah rahsia dan tidak akan didedahkan kepada sesiapapun.

h) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan niatnya kepada pihak-pihak untuk membuat catatan sepanjang Majlis Sulh.

i) Pegawai Sulh hendaklah menyatakan kepada pihak-pihak bahawa dia tidak boleh dipanggil di dalam mana-mana prosiding mahkamah berhubung dengan kes itu.


BAB 4 - PEMBENTANGAN AWAL PIHAK YANG BERTIKAI

a) Pegawai Sulh hendaklah meminta Plaintif/Pemohon membentangkan apa yang dipertikai olehnya, kesan yang timbul dan apa cadangan untuk menyelesaikannya.

b) Pegawai Sulh kemudian hendaklah meminta Defendan/Responden membentangkan apa yang dipertikai olehnya, kesan yang timbul dan apa cadangan untuk menyelesaikannya.

c) Setelah mendengar pembentangan kedua-dua pihak, Pegawai Sulh hendaklah membentuk satu peta konflik untuk mengenal pasti skop pertikaian antara kedua-dua pihak. Untuk tujuan itu, Pegawai Sulh hendaklah mengambil masa secukupnya dan tidak melakukannya dengan tergesa-gesa. Selain menyenaraikan perkara-perkara yang dipertikai oleh kedua-dua pihak dalam peta konflik itu, Pegawai Sulh hendaklah juga mengenal pasti sebab konflik itu timbul, halangan yang ada atau dirasakan ada kepada penyelesaian dan tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai penyelesaian.

d) Pegawai Sulh hendaklah menyusun dan mengurus maklumat yang diperolehinya bagi menentukan : –

  • isu atau masalah yang perlu diselesaikan;

  • kedudukan pihak-pihak yang bertikai;

  • kepentingan mereka;

  • alternatif (opsyen) penyelesaian.

Seterusnya Kembali