| Bahasa Melayu | English | Arabic |
/

    Laman Utama Sulh Kod Etika Pegawai Sulh


Kod Etika Pegawai Sulh

Ketua Hakim Syarie menetapkan kod etika berikut :


Nama

Kod etika ini hendaklah dinamakan Kod Etika Pegawai Sulh


Pemakaian

1.) Kod etika ini hendaklah terpakai kepada Pegawai Sulh sepanjang tempoh perkhidmatannya.

2.) Perlanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika ini boleh menjadi suatu alasan bagi tindakan diambil di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. [P.U (A) 395 /93]


Tanggungjawab umum

1.) Pegawai Sulh tidak boleh-

a) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak munasabah bahawa –

  • Dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas rasminya sebagai Pegawai Sulh

  • Dia telah menggunakan kedudukannya bagi faedahnya sendiri;

b) Berkelakuan dengan cara tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama Mahkamah Syariah.

c) Membelakangkan tugasnya demi kepentingan persendiriannya.

d) Bergaul bebas dengan orang ramai dengan cara yang boleh menimbulkan syak tentang keupayaannya untuk berlaku adil dalam tugas.

e) Menerima apa-apa hadiah, apabila hadiah tersebut dengan apa-apa cara berkaitan dengan pelaksanaan tugasnya.

f) Mengusahakan bagi mendapatkan upah apa-apa kerja bagi mana-mana institusi, syarikat, firma atau individu tanpa diberi keizinan atau kebenaran yang nyata oleh Ketua Hakim Syarie.

g) Memberi pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya sedang dibincangkan atau berkemungkinan akan menjadi suatu isu dalam mana-mana Majlis Sulh akan diadakan, kerana pendapatnya itu boleh kemudian digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya.

h) Meminjam wang daripada mana-mana orang atau menjadi penjamin kepada mana-mana peminjam, atau dengan apa-apa cara meletakkan dirinya di bawah suatu obligasi kewangan kepada mana-mana orang-

  • Yang secara langsung atau tidak langsung tertakluk kepada tugas sulhnya atau

  • Yang dengannya dia ada atau mungkin ada urusan rasmi.

i) Mengambil bahagian dalam aktiviti parti politik.

    2.) Pegawai Sulh hendaklah bersungguh-sungguh dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah menyelesaikan kes sulh dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie dari semasa ke semasa.

    3.) Pegawai Sulh hendaklah dalam menjalankan tugasnya melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

    4.) Pegawai Sulh hendaklah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya.


    Tanggungjawab Khas

    1.) Apabila seseorang Pegawai Sulh mengendalikan Majlis Sulh, dia hendaklah –

    • Tidak mengendalikan Majlis Sulh apabila dia tidak tenang, marah, lapar, haus , mengantuk, letih dan tidak sihat;

    • Tidak boleh meninggalkan Majlis Sulh seperti yang dijadualkan tanpa alasan yang munasabah atau tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan daripada Ketua Hakim Syarie.

    • Tidak mengendalikan Majlis Sulh di mana pihak yang terlibat itu musuhnya atau sahabatnya yang berkemungkinan akan mempengaruhinya.

    • Bertindak tegas dan adil serta tidak dipengaruhi oleh keadaan atau orang yang hadir dihadapannya.

    • Bersifat terbuka, mesra dan sabar semasa mengendalikan Majlis Sulh;

    • Memastikan prosiding Majlis Sulh dijalankan dengan teratur menurut Manual Kerja Sulh dan mengawal keadaan supaya Majlis Sulh itu berjalan lancar;

    • Menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sukarela;

    • Memberi layanan yang sama rata kepada pihak-pihak;

    2.) Pegawai Sulh hendaklah :-
    • Tidak berat sebelah

    • Sentiasa berkecuali

    • Merahsiakan segala perkara yang didedahkan di dalam Majlis Sulh.

    • Mengelakkan berlaku konflik kepentingan.

    • Memastikan bahawa ia mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam hal perkara pertikaian.

    • Tidak boleh mengiklankan perkhidmatannya.

    • Menolak permohonan menjadi saksi atau penasihat kepada pihak-pihak dalam Majlis Sulh yang pernah dikendalikannya.

    • Memastikan keselamatan pihak-pihak di dalam Majlis Sulh.

    Dibuat pada …………………………………….

    DATO’ SHEIKH GHAZALI BIN HJ. AB. RAHMAN Ketua Hakim Syarie

    Kembali