Umum
1. Bila surat penghakiman atau perintah dikeluarkan setelah kes selesai?
  Surat penghakiman atau perintah akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu selepas kes selesai dengan permohonan. Perintah Mahkamah akan dikeluarkan apabila permohonan mengeluarkan perintah dibuat beserta bayaran yang ditetapkan. Adalah dinasihatkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu perintah Mahkamah memohon perintah dikeluarkan segera (selepas kes selesai). Penghakiman atau Perintah bertulis Mahkamah amat penting bagi permohonan penguatkuasaan perintah.
2. Kenapa Mahkamah tak bayar nafkah sedangkan perintah telah dikeluarkan?
  Mahkamah hanya berkuasa mengeluarkan perintah kepada suami untuk membayar nafkah dan sebagainya. Bayaran itu akan datang dari pihak suami bukan Mahkamah. Tetapi sekiranya pihak suami tidak membayar seperti yang diperintahkan, si isteri atau anak yang berkepentingan dengan nafkah tersebut boleh memohon penguatkuasaan perintah di Mahkamah. Mahkamah akan mengeluarkan perintah penguatkuasaan dalam bentuk samada memerintahkan bayaran secara potongan gaji atau dipenjarakan dan sebagainya sepertimana yang dipohon.
3. Kenapa seseorang tidak dibenarkan berjumpa dan mengadu dengan Hakim secara terus?
  Anda tidak akan dibenarkan berjumpa dan mengadu kepada Hakim bagi mengelakkan ketidakadilan (berat sebelah). Masa untuk berjumpa hakim ialah apabila kes anda disebut/dibicarakan di dewan Mahkamah semasa Mahkamah bersidang. Sekiranya anda ada urusan berkaitan dengan perbicaraan atau kes, bolehlah berjumpa dengan pihak Pendaftar, Penolong Pendaftar atau Pembantu Pendaftar.
4. Apakah Jenis Pendaftaran Kes MAL?
  Terdapat 2 jenis pendaftaran kes MAL yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah iaitu:

a) Tuntutan
b) Permohonan

Tuntutan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan Saman beserta penyata tuntutan. Pernohonan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan notis permohonan beserta afidavit sokongan.
5. Apakah syarat-syarat sesuatu kes boleh didaftarkan di Mahkamah Syariah?
  Semua orang Islam yang berkahwin secara sah mengikut Hukum Syarak dan bermastautin di dalam sesuatu negeri boleh mendaftarkan permohonan atau tuntutan di mana-mana Mahkamah Syariah di tempat dia bermastautin.
6. Apakah sebab-sebab kelewatan kes berlaku di Mahkamah- Mahkamah Syariah?
  a) Saman / Permohonan tidak dapat diserahkan kepada Defendan/Responden.
b) Afidavit penyampaian tidak difailkan apabila penyerahan dibuat di luar Negeri Sembilan.
c) Plaintif atau Defendan mohon tangguh untuk penyelesaian luar mahkamah.
d) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana tidak dapat pelepasan cuti daripada majikan.
e) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti sakit.
f) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
g) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk melantik peguam.
h) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk memfailkan dokumen.
i) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat disepina.
j) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat hadir.
k) Peguam mohon tangguh kerana cuti sakit.
l) Peguam mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
m) Peguam mohon tangguh kerana ada kes di Mahkamah yang lebih tinggi.
n) Peguam mohon tangguh kerana tarikh yang diberikan bertindih dengan tarikh yang ditetapkan terdahulu.
o) Peguam mohon tangguh kerana dokumen yang diperlukan masih belum diperolehi.
p) Peguam mohon tangguh kerana atas arahan anak guam.
q) Saman kepada OKT tidak dapat diserahkan.
r) Waran tangkap tidak dapat diserahkan.
s) Afidavit penyampaian kepada OKT tidak difailkan apabila membabitkan luar negeri.
t) Pendakwa tidak dapat memberi alamat terkini OKT.
u) Hakim cuti kecemasan.
v) Hakim cuti sakit.
w) Hakim menangguhkan kes atas sebab pihak-pihak/peguam tidak hadir tanpa sebab.
x) Hakim menangguhkan kes atas sebab-sebab pentadbiran.
7. Berapa lama proses panggilan untuk sebutan setelah kes didaftarkan?
  Pada kelazimannya,  sebutan akan akan dibuat dalam masa 21 hari selepas pendaftaran disempurnakan.
 
Kembali