Penceraian
1. Bila surat cerai akan dikeluarkan?
  Pengeluaran surat cerai adalah dalam bidangkuasa Pejabat Agama Islam Daerah. Mahkamah tidak mengeluarkan surat cerai.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan Cerai Takliq dan bagaimana sabitan Takliq boleh berlaku?
  Ta’liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana diperuntukan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.
3. Apakah Hak-Hak Suami Isteri Selepas Penceraian?
  Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas sesuatu penceraian berlaku ialah :

a) Nafkah eddah
b) Mut’ah
c) Harta Sepencarian
d) Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
e) Nafkah Anak
f) Tunggakkan Nafkah
g) Hak tempat Tinggal
4. Bagimanakah bentuk Pembubaran Perkahwinan (Penceraian) yang terdapat dalam Islam yang dipraktikkan di Mahkamah Syariah?
  Penceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut :

a) Penceraian dengan lafaz Talaq
b) Pengesahan Lafaz Talaq
c) Fasakh
d) Cerai Takliq
e) Tebus Talak/Khuluk
f) Anggapan Mati
5. Apakah makna Perceraian (Talaq)?
  Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj’ie atau talaq ba’in.
6. Apakah yang akan terjadi kepada perkahwinan sekiranya salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain dari Islam.
  Seksyen 46, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] menjelaskan bahawa (1) jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain dari Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah. (2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.
7. Setakat manakah bidangkuasa Mahkamah melayani tuntutan perceraian?
  Mahkamah mempunyai bidankuasa melayani tuntutan perceraian jika:

i. Perkahwinan didaftarkan menurut undang-undang;
ii. Perkahwinan adalah sah mengikut Hukum Syarak; dan
iii. Permohonan hendaklah dikemukakan di tempat tinggal salah satu pihak kepada perkahwinan.
8. Apakah yang dimaksudkan dengan nusyuz?
  Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:

i) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
iii) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
9. Apakah hikmat disyariatkan iddah?
  Iddah ialah suatu tempoh masa yang perlu dinanti oleh seseorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya bagi mengetahui bersih rahimnya daripada mengandung untuk mengharuskan dirinya berkahwin dengan lelaki lain. Ia tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut. Iddah hukumnya wajib. Jika seseorang perempuan yang masih di dalam iddah, berkahwin dengan lelaki yang lain, maka perkahwinan itu hukumnya tidak sah pada syarak dan wajib difasakhkan serta merta. Antara hikmat disyariatkan iddah ialah :
i) Untuk mempastikan kesucian rahim perempuan.
ii) Perkara tażabbud (ibadat).
iii) Memberi peluang kepada suami supaya berfikir semula dan kembali merujuk isterinya semasa d dalam iddah. Hal ini tertakhluk kepada kes talaq rajie sahaja.
10. Apakah bentuk nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isteri yang diceraikan?
 
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan.

i) Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah:
- Menyediakan makanan yang sepatutnya.
- Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
- Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu.
- Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.

ii) Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie.

iii) Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya.

Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah. Perempuan yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah daripada suaminya semasa di dalam iddah.

11. Apakah makna Perceraian (Talaq)?
  Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj’ie atau talaq ba’in.
 
Kembali